King Aslan Muka Bengis Tetapi Manja Popular Kalahkan Orang Bertunang

4369

king aslan

MUKA bengis tetapi manja. Itu ciri-ciri yang dimiliki Gilbert Stately, kucing baka Maine Coon dipelihara Muhammad Hazwan Mohd Basir, 23, yang mendapat jolokan King Aslan, watak singa dalam filem The Chronicles of Narnia selepas tular di laman sosial sejak isnin lalu.

Wajahnya yang menyerupai singa menjadikan kucing berkenaan sentiasa mendapat perhatian apabila tetamu berkunjung ke rumah keluarga Muhammad Hazwan di Taman Subang Baru, Shah Alam.

Muhammad Hazwan berkata, meskipun muka Gilbert nampak bengis, kucing itu manja dan banyak ragam.

Menurutnya, Gilbert yang sudah berusia tiga tahun itu bagaimanapun perlu mengambil masa untuk mendekati dan bermanja dengan orang yang tidak dikenali.

“Memang kebanyakan orang yang datang ke rumah pasti terkejut melihat Gilbert dan ada yang takut dengannya kerana rupanya seperti singa serta lebih besar berbanding kucing biasa.

“Tidak kurang juga orang yang mahu memeluknya dan bergambar dengannya. Tetapi mereka terpaksa membelai Gilbert dahulu kerana dia perlu selesa dengan orang yang mendekatinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, gelagat Gilbert yang bersahaja dan berlagak ‘macho’ sering mencuri tumpuan.

“Gilbert juga banyak kerenah. Dia tidak akan pandang atau datang pada kita jika memanggil dengan nama lain atau nama singkatan ‘Gill’. Dia hanya akan memberi respon dengan nama Gilbert sahaja.

royal canin

“Bab makanan pula dia agak memilih. Dia lebih suka pada makanan mewah jenama Royal Canin dan kadang kala dia juga diberi makan ayam rebus,” kata Hazwan yang bekerja sebagai pembantu penyelidik di sebuah agensi kerajaan.’

Menurut Hazwan, Ahad lalu kakaknya melangsungkan majlis pertunangan dan tetamu yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Gilbert yang berjaya mengalahkan ‘populariti’ orang yang bertunang.

Gelagat Gilbert bergambar di atas pelamin pada majlis itu mendapat perhatian netizen sehingga ia menjadi tular di laman sosial sejak Isnin lalu.